Thursday 17th April 2014
ITR1M Dilancarkan Di Perak Reviewed by Momizat on . LUMUT : - Selepas kejayaan program perintis Interaktif Tuisyen Rakyat 1Malaysia (iTR1M) yang dilancarkan di Selangor pada tahun lepas, program yang digerakkan o LUMUT : - Selepas kejayaan program perintis Interaktif Tuisyen Rakyat 1Malaysia (iTR1M) yang dilancarkan di Selangor pada tahun lepas, program yang digerakkan o Rating:
You Are Here: Home » Whats On » ITR1M Dilancarkan Di Perak

ITR1M Dilancarkan Di Perak

LUMUT : – Selepas kejayaan program perintis Interaktif Tuisyen Rakyat 1Malaysia (iTR1M) yang dilancarkan di Selangor pada tahun lepas, program yang digerakkan oleh Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) itu diperluaskan ke Perak hari ini.

Pelancaran iTRIM di negeri ini dilancarkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di Dewan Merdeka, Manjung di sini dan turut dihadiri Pengerusi YGMB, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dan Pengarah Pelajaran negeri, Muhamat Roli Hassan.

Ketika ditemui selepas majlis pelancaran itu, Alimuddin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri yang memilih Perak sebagai negeri kedua selepas Selangor bagi melaksanakan program tuisyen percuma itu.

Beliau berkata,  berbeza dengan iTR1M di Selangor yang menggunakan dua kaedah iaitu konvensional atau secara bersemuka dan dalam talian, program tersebut di Perak hanya dijalankan menerusi kaedah dalam talian kerana didapati paling berkesan dan mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pelajar.

“Program iTR1M di Perak akan melibatkan seramai 10,000 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dari 200 buah sekolah dan seramai 10,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari 120 buah sekolah di seluruh negeri ini,” katanya.

Program iTR1M pertama yang dilancarkan oleh Perdana Menteri di Selangor pada 28 Jun tahun lepas memberikan tumpuan kepada empat mata pelajaran iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Menurut Alimuddin, pemilihan pelajar dan sekolah yang akan terlibat dalam program tersebut ditentukan oleh Jabatan Pelajaran negeri dan Pejabat Pelajaran daerah.

“Namun,  apa yang kita hendak tekankan ialah pelajar yang akan mengikuti program ini terdiri daripada anak keluarga kurang berkemampuan dan mempunyai pencapaian akademik yang sederhana agar program ini dapat memberikan impak kepada mereka.

“Kita juga mahukan penglibatan sekolah dari seluruh negeri ini. Walaupun penglibatan pelajar dari setiap sekolah mungkin kecil tetapi kita harap dapat membantu pelajar dari keluarga kurang berkemampuan dan mempunyai pencapaian sederhana,” ujarnya.

Beliau juga yakin program tersebut dapat dilaksanakan dengan baik di negeri ini kerana pelajar sekarang mempunyai akses kepada kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di sekolah dan luar sekolah termasuk di rumah.

Katanya, selain makmal komputer sekolah, kerajaan menyediakan kemudahan ICT di pusat info desa dan pemberian Netbook 1Malaysia kepada para pelajar.

Alimuddin juga memberitahu, pada tahun ini pihaknya bercadang memperluaskan program iTR1M secara dalam talian ke tiga buah negeri lagi iaitu Pahang, Kedah dan Kelantan.

“Pemilihan tiga buah negeri ini dibuat kerana kedudukannya yang terletak berhampiran dengan Kuala Lumpur memudahkan kita untuk membuat pemantauan,” katanya.

 

Leave a Comment

© 2014 sataypanas.com

Scroll to top